Jantung Anda
JANTUNG Untuk Kehidupan, adalah tema yang pernah diberikan kepada hari jantung sedunia. Sejauh manakah kepentingan organ ini kepada manusia?
Jantung
sebenarnya adalah organ utama dalam sistem kardiovaskular. Ia mampu berdenyut
lebih daripada 3.5 bilion kali sepanjang kehidupan dan fungsi utamanya mengepam
darah yang membekalkan oksigen dan makanan ke semua bahagian badan.
Dalam
keadaan rehat, jantung berdenyut antara 60 hingga 90 kali seminit untuk orang
dewasa manakala pada kanak-kanak antara 100 hingga 120 kali seminit.
Semasa
berdenyut, darah yang dipam dari seluruh badan pada kadar lima liter akan
melalui jantung setiap minit. Tetapi apabila diperlukan, terutama semasa
bersenam, jantung berupaya mengepam sehingga empat kali ganda jumlah itu.
Bagaimanapun,
jika penjagaan jantung diabaikan seperti tidak mengamalkan gaya hidup sihat
seperti senaman, pemakanan dan tekanan, boleh menyebabkan jantung berpenyakit.
Ini kerana statistik kemasukan dan kematian mereka yang menghidap penyakit jantung di hospital kerajaan yang direkod meningkat dari 1985 hingga 1996.
Ini kerana statistik kemasukan dan kematian mereka yang menghidap penyakit jantung di hospital kerajaan yang direkod meningkat dari 1985 hingga 1996.
Pada
1985, jumlah kemasukan pesakit jantung yang direkod ialah 58,961 orang dengan
6,205 kematian. Jumlah itu meningkat kepada 101,985 kemasukan dan 7,249
kematian pada 1996.
Penyakit jantung dikenal
pasti antara pembunuh utama di hospital kerajaan di Semenanjung, Sabah dan
Sarawak yang mana masing-masing mencatat 15.82 peratus atau 22,502 kematian;
12.49 peratus dengan 3,346 kematian dan 17.51 peratus dengan 2,302 kematian.
Penyakit
kardiovaskular turut dikesan berpunca daripada penyakit darah tinggi yang mana
hasil kajian Mobiditi Kebangsaan Kedua pada 1996 menunjukkan hampir 29 peratus
penduduk dewasa negara ini mempunyai tekanan darah diastolik dan 53 peratus
tidak mengetahui mereka menghidap penyakit darah tinggi.
Hanya
61.4 peratus pesakit yang disahkan menghidap darah tinggi sedang menerima
rawatan, 34.5 peratus pernah menerima rawatan dan 41.1 peratus langsung tidak
pernah menerima rawatan.
Hampir
30 peratus kematian yang disahkan secara perubatan di negara ini adalah
disebabkan kardiovaskular yang menjadi pembunuh utama merangkumi 20 kematian
dan angin ahmar lapan peratus.
Penyakit
jantung koronari (CAD) dikesan paling kerap ditemui yang dikenal pasti berpunca
daripada masalah kegemukan (55 peratus), tekanan darah tinggi (44 peratus),
kolesterol tinggi (40 peratus), tidak bersenam (33 peratus), merokok (25
peratus) dan diabetes (18 peratus).
CAD
berlaku apabila arteri koronari tersumbat dan ini akan menyekat peredaran darah
lalu menyebabkan oksigen yang dibekalkan ke otot jantung tidak mencukupi. Tanda
ini boleh dikesan apabila seseorang itu sakit dada (angina pektoris), serangan
jantung (infarksi miokardial) dan juga kematian jantung secara mengejut tanpa
mengalami sakit dada atau ketidakselesaan sebelumnya.
Jika dilihat punca utama
CAD iaitu kegemukan adalah disebabkan kurangnya penjagaan dari segi pemakanan
dan gaya hidup masa kini.
Pengambilan
makanan berlemak, berminyak, gula dan garam berlebihan tanpa bersenam
mengakibatkan rakyat terdedah kepada risiko penyakit jantung sekali gus
mengancam nyawa. Penyumbatan arteri berlaku disebabkan aterosklerosis yang juga
sebahagian daripada proses penuaan.
Jenis
penyakit jantung yang lain adalah, kegagalan jantung yang terjadi apabila
jantung terlalu lemah untuk mengendalikan peredaran darah yang mencukupi ke
seluruh badan.
Arrhythmia pula adalah
sebarang perubahan daripada rentak denyutan jantung yang normal yang adakalanya
berlaku secara singkat. Jika arrhytmia berpanjangan, kadar denyutan jantung
akan menjadi terlalu lambat atau cepat.
Penyakit
injap jantung akan menjejaskan pengaliran darah sehala dalam jantung sendiri
sementara penyakit otot jantung disebabkan tisu ruang jantung yang mengepam
darah rosak atau terkena jangkitan kuman.
Penyakit
pada arteri periferi dan vena boleh menyebabkan salur darah pada anggota tubuh tersumbat,
mengembang dan pecah. Darah yang membeku dalam vena boleh bergerak ke
paru-paru.
Penyakit
jantung kongenital pula membabitkan kerosakan injap dan ruang jantung serta
masalah peredaran akibat keturunan, diabetes, rubela atau jangkitan virus pada
ibu, penyalahgunaan alkohol dan dadah semasa mengandung.
Bagaimanapun,
masih tidak terlambat untuk masyarakat mengambil perhatian terhadap penjagaan
jantung.
Di
Malaysia, Yayasan Jantung Malaysia (YJM), badan bukan kerajaan yang berperanan
menyedarkan masyarakat mengenai penjagaan jantung.
Dalam
kempennya sempena Hari Jantung Sedunia 2001, YJM menganjurkan acara jalan kaki
sebatu sebagai simbolik kepada penjagaan jantung yang sihat.
Hanya
30 minit sehari berjalan kaki, boleh mengelakkan anda daripada diserang
penyakit jantung dan strok; mengawal tekanan darah; mengurangkan kadar
kolesterol dalam badan; menguatkan otot dan tulang yang juga mengelak
osteoporosis; meningkatkan stamina serta membantu mengawal berat badan, tidur
lena di samping menstabilkan mental dan fizikal tubuh.
Antara
nasihat yang boleh dijadikan panduan untuk mengamalkan tabiat berjalan kaki
ialah, jika anda menggunakan pengangkutan awam, berhenti separuh jalan dan mula
berjalan kaki hingga sampai ke tempat kerja, sekiranya menggunakan kenderaan
sendiri, sentiasa amalkan berjalan 15 minit sebelum menaiki kereta serta lebih
baik menggunakan tangga daripada menggunakan lif.
Jantung yang sihat
adalah kunci kepada kesihatan badan. Untuk mempunyai jantung yang sihat juga
adalah penting bersenam sekurang-kurangnya tiga kali seminggu selama 20 minit.
Justeru,
adalah penting untuk mengekalkan fizikal dan tabiat pemakanan yang sihat bagi
mengelak kegemukan selain tidak merokok. Jika tabiat yang baik ini diamalkan,
pasti masyarakat mempunyai jantung yang sihat, jantung yang sihat menggambarkan
masyarakat yang ceria.